SMN - Risalah untuk Kaum Muslimin
SMN - Risalah untuk Kaum Muslimin
Couldn't load pickup availability
Risalah Untuk Kaum Muslimin adalah catatan kata lisan Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1973, ketika beliau bertugas di UKM sebagai Mahaguru Penyandang Kerusi Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan juga sebagai Pengasas serta Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di universiti itu, yang telah dicatat dalam bentuk tulisan ringkas dan kemudian ditaip oleh setiausaha penulis Cik Roselyn Hamzah. Di dalamnya terumus renungan mendalam pengarangnya berkenaan faham-faham utama dalam pandangan hidup Islām yang perlu diketahui oleh kaum Muslimin. Konsep-konsep penting yang dibicarakan merangkum faham agama, keadilan, ilmu, kebudayaan, kebebasan, akhlak, perubahan, pembangunan, kemajuan, kerasulan, bahasa, pengislaman, kesusasteraan, kesenian, tragedi, akal dan pensekularan.
Kata-kata dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin telah penulis mulai pada awal tahun 1973 dan akhiri dengan perenggan 74 pada bulan Mac tahun itu, dibiarkan begitu sahaja tanpa terusan. Ini disebabkan oleh perasaan penulis dewasa itu bahawa banyak perkara yang dihurai serta dibincangkan dalam Risalah ini bukan sahaja penting bagi bangsa kita, bahkan bagi Kaum Muslimin sedunia. kerana permasalahan yang terhurai dalamnya itu mengenai masalah kekeliruan mendalam yang sama sedang dideritai oleh Kaum Muslimin di merata dunia. Sedangkan kini pun, dalam suasana keadaan yang semakin meruncing ini, bangsa kita serta Kaum Muslimin amnya belum tampak sedar akan kekeliruan diri yang mengharunginya, kekeliruan diri yang berpunca dari penyelewengan faham mengenai Islām dan pandangan hidupnya—apatah lagi pula dewasa itu yang hampir tiga puluh tahun telah berlalu, bolehkan tiba pada nazar akali dahulu itu kesedaran yang diharapkan sehingga dapat menggerakkan diri ke arah pemulihan? Ternyata sekali kepada penulis bahawa faham-faham yang terkandung serta terbayang dalamnya, yang merangkumi saujana luas yang terumus di situ dan yang belum pernah terlintas dalam renungan dewasa itu dan yang lampau, telah jauh mendahului masanya sehingga pelaksanaan kefahaman serta kesedaran mengenai kenyataannya memang luput dari pencapaian. Lagi pula keberanian jiwa, keyakinan dan kemampuan akali yang sudah semestinya dikehendaki bagi melaksanakan kefahaman serta kesedaran dan tindakan sewajarnya belum terdapat.
Sebab utama yang mengakibatkan terjadinya keadaan begini adalah kejahilan masharakat kita kaum Muslimin mengenai Islām sebagai agama yang sebenarnya dan peradaban yang luhur lagi agung yang telah menghasilkan ilmu-ilmu Islamiah yang berdaya menayangkan pandangan alam yang tersendiri—kejahilan yang melenyapkan kesedaran akan tanggungiawabnya terhadap meletakkan amanah ilmu dan akhlak pada tempatnya yang wajar, sehingga sanggup membiarkan sahaja kekeliruan dan pelbagai macam penyelewengan dalam ilmu dan amal terus mengharungi pemikiran dan perbuatan para sarjana dan cendekiawan kita yang kebanyakannya masih terbelenggu pada gelang penghambaan ilmu-ilmu orientalis dan kolonial.
Share
