Rahang Gelombang
Rahang Gelombang
dan nanti
kumpulkan
segenap pusaka dari tujuh keturunan
segenap mimpi dari tujuh fajar
segenap zuriat dari tujuh kelamin
dan akhirnya
pasrah seluruh keluargamu
ke dada jala
Siapakah yang benar-benar mengerti tentang ketentuan?
Bahawa daun hijau akan menggelepar ke perut bumi. Ikan yang dipesona dunia samudera akan menyerah diri ke dada pukat. Nelayan, petani dan penoreh masing-masing sedar—dalam resah-payahnya—bahawa sela raung gelombang, suara guruh di bumbung, dan cakaran kemarau tidak memungkinkan rezeki bertandang.
Di tangan Moechtar Awang, segala di dalam puisi mengerti bahasa pasrah. Seru kalimatnya bernada taufan, tetapi tetap berdegup menyebut nama Tuhan.
Naskhah ini, yang mengandungi 50 puisi terbaik beliau, wajib dibaca pencinta puisi—sekaligus menggilap semula mutiara nama Moechtar Awang dalam khazanah sastera tanah air untuk tatapan khalayak baharu.